sila layari laman blog/web yang disenaraikan bagi mengatahui perkembangan terbaru dan sebagainya


Saturday, August 29, 2009

CAWANGAN BUKIT BUNGA ( JELI )












SATU LAGI CAWANGAN KELAB M-150 FARED MUAY THAI & SPORT TELAH DI RASMIKAN OLEH EN MOHD FARED BIN ABDUL GHANI, CAWANGAN YANG BERTEMPAT DI BUKIT BUNGA JELI , KELANTAN DARUL NAIM. SERAMAI 30 ORANG NAK MUAY DI CAWANGAN INI DAN ANTARA NAK MUAY YANG TERNAMA ADALAH SUNTAYA YANG PERNAH MENYERTAI KEJOHANAN PIALA TENGKU MAHKOTA KELANTAN YANG BERLANGSUNG DI STADIUM SULTAN MOHD KE -4.TURUT SERTA BAGI MENJAYAKAN MAJLIS INI ADALAH KETUA PEMUDA UMNO JELI DAN PRESIDENT PERSATUAN TOMOI KELANTAN.PADA HARI TERSEBUT ,MENJADI KEBANGGAAN BAGI UMAT ISLAM YANG MENCEBURI BIDANG INI KERANA 2 ORANG NAK MUAY IAITU SUNTAYA DAN ADIK EDI TELAH MEMELUK AGAMA ISLAM DAN DIISLAM KAN OLEH PAPA SENDIRI....

KAD RAYA M-150

MUKA DEPAN



BAHAGIAN DALAM KAD M/S 1



BAHAGIAN DALAM KAD M/S 2

Monday, August 24, 2009

Melompat di atas tayar


Melompat di atas tayar adalah salah satu latihan tradisional yang menjadi amalan semua gim di Thailand. Latihan ini bertujuan untuk mendapatkan rentak semasa bertarung. Petinju Thai menggunakan tayar sebagai alat untuk memanaskan badan selama 15-30 minit sebelum memulakan latihan. Latihan ini juga akan membina otot gastroknemius (labu betis) selain melatih keseimbangan badan. Tayar yang dipilih biasanya tayar lori kerana petinju perlu membuka kaki yang agak luas. atas tayar adalah salah satu latihan tradisional yang menjadi amalan semua gim di Thailand. Latihan ini bertujuan untuk mendapatkan rentak semasa bertarung. Petinju Thai menggunakan tayar sebagai alat untuk memanaskan badan selama 15-30 minit sebelum memulakan latihan. Latihan ini juga akan membina otot gastroknemius (labu betis) selain melatih keseimbangan badan. Tayar yang dipilih biasanya tayar lori kerana petinju perlu membuka kaki yang agak luas.

Resipi Kejayaan Jaguh Muay Thai



"Kekuatan mental adalah faktor sebenar kejayaan seseorang petinju dan dibantu oleh faktor yang lain seperti kerajinan berlatih, sifat dedikasi dan bakat. "- Chaowalit

Bekas juara Lumpini dan WMC Against Drug Asia 2009, Chaowalit Jocky Gym ketika ditanya pernah berkata, antara faktor lain yang banyak membantu kejayaannya ialah kepercayaan terhadap jurulatih dan sifat 'dahaga' untuk mengejar kejayaan. Kata beliau, kepatuhan mengikut segala arahan yang diberikan oleh jurulatih merupakan resipi kejayaan kerana jurulatih yang mengetahui tahap perkembangan dirinya.

"Saya tidak melihat kenapa petinju di negara ini tidak mampu untuk berjaya kerana semua keperluan telah disediakan. Mereka hanya perlu lebih banyak berkorban dan perlu dahagakan kejayaan. Tiada jalan singkat untuk mencapai kejayaan dan mereka perlu menanamkan sifat untuk terus memberi persaingan, walaupun tidak dijanjikan dengan habuan lumayan.”


Novel Tomoi



Di sini ada dua buah untuk diperkenalkan kepada peminat tomoi. Buku pertama ialah novel Gelanggang karya Prasert Eh Chai terbitan DBP. Buku ini hanya untuk peminat tomoi yang memang kaki novel. Anda akan dapat menyelami kisah suka-duka peninju dan cara hidup masyarakat kampung di selatan Siam. Buku kedua ialah Teknik Muay Thai. Terdapat 100 teknik dipaparkan dalam buku ini dengan penerangan ringkas dalam bahasa Thai.

Sinopsis novel Gelanggang

Masyarakat ”Kampung Peninju” Sri Bualai bergolak ekoran kekalahan jaguh mereka Akrom dalam gelanggang tomoi di Pattani. Akrom melarikan diri sebagai juara yang tewas. Saran, kawan Akrom dipersalahkan dan Attapol bekas juara ingin membelasah Saran di gelanggang tomoi. Pergolakan ini sangat tidak dikehendaki kerana bimbang akan mencemarkan perayaan Loi Kratong yang merupakan lambang kebaikan yang menjelang tiba. Benar, perayaan itu akhirnya disambut dalam suasana yang amat menyentuh perasaan akibat daripada keputusan pertarungan antara Saran dan Attapol di gelanggang.

Faul dalam sukan Muay Thai



1. Menjatuhkan lawan dengan menolak pinggang, bahu atau kaki (seperti yang digunakan dalam judo).
2. Mengunci lawan (seperti dalam sukan gusti atau jujitsu).
3. Menggunakan sepakan sapuan untuk menjatuhkan lawan.
4. Memeluk lawan sehingga lawan sesak nafas.
5. Memegang tali untuk menyepak atau menghentak lutut kepada lawan.
6. Melantunkan tubuh di tali gelanggang untuk menyerang atau membela diri dari serangan lawan.
7. Menggunakan tali gelanggang untuk mencederakan lawan.
8. Menangkap kaki lawan dan menolaknya sehingga melebihi 3 langkah tanpa disusuli serangan balas.
9. Tidak melawan balik walaupun diserang berkali-kali.
10. Menggigit, mencekik, meludah atau menghantukkan kepala terhadap lawan.
11. Menggunakan perkataan lucah atau provokatif terhadap lawan.
12. Menjatuhkan atau mencederakan lawan walaupun sudah diarahkan berhenti oleh pengadil.
13. Menyerang kawasan groin (peninju yang diserang di bahagian groin dengan pengetahuan pengadil layak mendapat rehat selama 5 minit sebelum meneruskan pertandingan; peninju yang berpura-pura sakit akan diberi amaran dan diminta meneruskan pertandingan).
14. Perlakuan agresif peninju atau pembantunya terhadap pengadil.
15. Sengaja menanggalkan pelindung gigi (amatur sahaja).


Beg Berat



Beg berat ialah teman latihan yang paling praktikal bagi petinju. Alat latihan ini jika digunakan dengan betul boleh meningkatkan kepantasan, kekuatan, ketepatan, stamina, jangka masa tindakan (timing) dan konsentrasi minda yang baik. Ia juga menjadikan tulang lebih kuat, tebal dan keras. Beg berat diperbuat daripada kulit, vinil atau kain kanvas. Beg berat biasanya diisi dengan perca kain. Ada juga yang menggunakan pasir, habuk kayu atau batu kelikir sebagai isi beg. Petinju Thai sudah lama tidak menggunakan batang pisang atau batang pinang untuk mengeraskan tulang kering sebaliknya menjadikan beg berat sebagai alat tubi kerana ia paling berkesan dan selamat.


Terma dalam perlawanan



Knock-Out (K.O.) diberikan apabila petinju ditumbuk rebah dan tidak mampu bangun selepas kiraan 10.

Technical Knock-Out (T.K.O.) diberikan apabila petinju cedera teruk atau tidak berdaya untuk melawan; pengadil terpaksa memberhentikan perlawanan kerana petinju tidak mampu berlawan; petinju tidak mampu berlawan selepas masa rehat; doktor mencadangkan kepada pengadil supaya memberhentikan perlawanan kerana kecederaan petinju; petinju rebah sebanyak tiga kali dalam pusingan yang sama dan tidak mampu meneruskan perlawanan.

Winning Due diberikan apabila lawan tidak hadir ke gelanggang selepas tiga kali dipanggil atau petinju melanggar peraturan gelanggang.

Seri diberikan apabila petinju mendapat mata yang sama atau apabila kedua-dua petinju rebah pada masa yang sama dan tidak mampu bangun.

Tiada keputusan perlawanan diumumkan sekiranya kedua-dua petinju berpakat atau tidak bertarung dengan bersungguh-sungguh.


Memiliki Six Pack



Mendapat otot perut yang pejal (six pack) ialah impian semua pengamal tomoi. Untuk memiliki six pack, seseorang itu memerlukan latihan yang konsisten dan lama. Bekas Juara PK-1 Dunia, Seethanonchai Sor Chitlada pun mengaku membuat latihan sit-up sewaktu bangun tidur sebanyak 200 kali dan rutin itu dilakukan selama bertahun-tahun.

Ramai pengamal tomoi gagal mendapat six pack walaupun latihan yang dilakukannya itu lama dan kerap. Keadaan ini terjadi disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah:

1. Keunikan biologi tubuh kita yang selalu menyimpan lemak di bahagian perut sebelum disebarkan ke seluruh tubuh.
2. Pola latihan yang salah.
3. Pola makan yang tidak teratur.
4. Pola istirehat yang tidak cukup.
Daripada pelbagai sumber , banyak cara membentuk six pack, tetapi ada satu tips paling berguna, iaitu semua disebabkan oleh metabolisme tubuh. Jika seseorang mempunyai metabolisme tubuh yang bagus, maka untuk memperoleh six pack akan lebih mudah. Ada kenyataan bahawa tubuh menyimpan lemak di perut terlebih dahulu sebelum disebarkan ke seluruh tubuh. Oleh sebab itu, kita harus menyusun pola latihan yang sesuai untuk melatih bahagian perut.

Berdasarkan penyelidikan, melatih perut bahagian bawah sewaktu awal latihan akan memberikan hasil yang lebih maksimum daripada melakukan sit-up biasa. Ini kerana sewaktu awal latihan otot belum letih, dan gerakan menarik otot bahagian bawah juga melatih otot perut secara keseluruhan secara bersama-sama. Melatih otot perut akan lebih baik jika dilakukan bersama-sama otot tubuh seperti dada, bahu, lengan, punggung, paha dan betis.
Pola makan merupakan kunci kejayaan terbesar dalam membentuk six-pack. Latihan keras tanpa mengatur pola makan adalah silap sama sekali. Mengambil kalori melebihi aktiviti seharian akan menyebabkan kalori berkumpul menjadi lemak.

Yang terakhir pentingnya ialah mengatur pola istirehat. Pastikan istirehat cukup, hindari tidur lewat. Menurut kajian, orang yang yang biasa berjaga lewat malam akan mengambil makanan ringan atau sajian lewat malam untuk mendapatkan tenaga. Untuk semalaman sahaja, lemak akan bertambah sebanyak 118 kalori, dan apabila didarabkan selama satu bulan akan menjadi 3540 kalori atau setengah kilogram lemak dalam tubuh.

Muay Thai di Thailand



Di Thailand, setiap kanak-kanak ingin menjadi petinju profesional. Oleh sebab Muay Thai merupakan salah satu aktiviti ko-kurikulum di sekolah, ramai murid yang mahu menjadi profesional menyertai kem yang boleh ditemui di setiap daerah.

Kem Muay Thai di Thailand berkait rapat dengan Wat (kuil). Ini disebabkan bikkhu mempunyai pengaruh terhadap kem tersebut melalui upacara penyucian kem, pemberkatan mongkon dan menjampi prajed.

Tentera juga memainkan peranan penting dalam sukan ini. Badan tertinggi yang mengawal aktiviti sukan ini dikuasai oleh pegawai-pegawai tentera. Contohnya, Stadium Lumpini diuruskan oleh pegawai kanan tentera. Ramai juga tentera yang terlibat dalam perlawanan untuk mendapat kenaikan pangkat.

Petinju Thai biasanya memasuki kem ketika umur mereka baru enam tahun. Sebab itulah kita dapat lihat kem Muay Thai di Thailand dipenuhi oleh kanak-kanak. Mereka mula memasuki arena pertandingan selepas beberapa bulan latihan untuk mencari wang bagi menampung yuran latihan dan menghantar bakinya kepada keluarga. Ada juga kem yang mengambil anak-anak yatim untuk dilatih bagi mempersiapkan diri mereka hidup dengan lebih sempurna pada masa depan.

Ikatan kekeluargaan di dalam kem amat kuat kerana setiap pelatih mengganggap rakan mereka sebagai adik beradik dan jurulatih dianggap sebagai bapa. Walaupun kemudahan asas seperti bilik tidak mencukupi di kem, kanak-kanak ini tidak kisah langsung kerana matlamat mereka adalah menjadi pofesional dan keluar daripada kemiskinan.


Kickboxing @ Thai Kickboxing



Kickboxing sering disalahertikan sebagai Muay Thai yang juga dikenali sebagai Thai Kickboxing. Walaupun teknik dan peraturan kedua-dua sukan ini hampir sama, kebanyakan aliran kickboxing tidak menggunakan lutut dan siku sebagai senjata dan tidak menyerang di bawah kawasan pinggang.

Terdapat banyak negara yang melabelkan aliran mereka sebagai kickboxing seperti Jepun, Amerika, India, Burma dan Perancis. Perkataan ”kickboxing” sebenarnya dicipta oleh Osamu Noguchi, seorang promoter Karate bagi merujuk kepada seni campuran sukan Muay Thai dengan Karate yang diciptanya pada awal tahun 60-an.

Pada 12 Februari 1963, satu perlawanan antara Karate dengan Muay Thai diadakan di Stadium Lumpini. Tiga ahli karate dari Jepun terbang ke Thailand untuk mencabar petinju Thai. Mereka ialah Tadashi Nakamura, Kenji Kurosaki dan Akio Fujihara. Promoter mereka, iaitu Noguchi dengan bantuan Kurosaki mengkaji Muay Thai dan menyerapnya dengan seni karate aliran Kyokushin dan menamakannya sebagai Kickboxing. Ketika ini, buangan dan sepakan rendah masih dibenarkan untuk menampakkan unsur Muay Thai. Persatuan Kickoxing Antarabangsa, badan kickboxing sah pertama telah diasaskan oleh Noguchi pada 1966 dan pertandingan pertama diadakan di Osaka pada 11 April 1966.

Sukan kickboxing meletup dan terkenal di seluruh Jepun. Petinju kickboxing terhebat di Jepun ketika itu ialah Tadashi Sawamura. Bagaimanapun, selepas beliau bersara, sukan kickboxing menjadi suram. Selepas beberapa lama, sukan kickboxing meningkat semula selepas Kejohanan K-1 diadakan pada 1993. Kazuyosi Ishii, pengasas Karate Seidokaikan menganjurkan K-1 di bawah peraturan kickboxing (tiada siku dan clinching). Acara ini berkembang di seluruh Eropah, Amerika, Australia dan New Zealand.


Gim vs Bangsal


Bangsal cawangan m-150 fared muay thai & sport Kg Bukit Badak di Klang, Selangor

perbezaan antara gim dengan bangsal untuk rujukan peminat Muay Thai.
1. Gim hanya terdapat di bandar-bandar besar -- bangsal dibina di kampung.
2. Jurulatih gim mempunyai kelayakan dan diiktiraf -- jurulatih bangsal hanya mempunyai pengalaman yang luas.
3. Jurulatih gim bekerja sepenuh masa -- jurulatih bangsal terdiri daripada pemandu teksi, tukang rumah, guru dan petani yang melatih secara sambilan.
4. Jurulatih gim ialah bekas juara yang mencipta nama di peringkat kebangsaan atau antarabangsa -- jurulatih bangsal hanya bekas petinju yang berlawan di peringkat tempatan.
4. Latihan di gim diadakan beberapa kali dalam seminggu -- latihan di bangsal dilakukan setiap hari (kecuali hari Jumaat).
5. Yuran latihan gim biasanya beratus-ratus ringgit sebulan -- yuran bangsal cuma RM1.00 sehari atau tiada langsung.
6. Gim dilengkapi air cond dan permaidani untuk keselesaan -- bangsal dibina secara terbuka untuk memberi pengudaraan semula jadi.
7. Gim mempunyai kelengkapan yang banyak -- bangsal hanya mempunyai sepasang glove, sepasang pao dan satu punching bag.
8. Pelatih di gim terdiri daripada pelbagai kaum -- pelatih di bangsal hanya terdiri daripada masyarakat setempat yang biasanya Melayu.
9. Jangka masa latihan di gim tidak tamat, selagi minat selagi itu datang berlatih -- pelajaran di bangsal akan tamat selepas majlis perlimau (graduation day), biasanya selepas tiga bulan.
10. Gim berdaftar dengan persatuan peringkat kebangsaan atau antarabangsa -- bangsal mula berlatih selepas mendapat permit polis.


Memorabilia Muay Thai

Mengumpul memorabilia Muay Thai adalah perkara baru bagi peminat di Malaysia. Di US, mengumpul barangan sukan yang pernah digunakan oleh legenda menjadi salah satu hobi yang utama. Kad trading pemain besbol, batang hoki, glove tinju adalah antara barangan yang menjadi kegilaan peminat di sana. Sepasang glove tinju yang pernah digunakan oleh Muhammad Ali untuk menumbangkan George Foreman dilelong berpuluh-puluh ribu dolar US. Poskad yang ditandatangani Jack Dempsey berharga lebih US$2500. Untuk mengenang kehebatan jaguh-jaguh sukan, peminat sanggup berhabis wang yang banyak. Sudah tiba masanya peminat Muay Thai menjadikan hobi mengumpul memorabilia Muay Thai sebagai salah satu hobi. Anda boleh mulakan hobi ini dengan mengumpul poster kejohanan yang ditandatangani oleh semua petinju yang terlibat. Mana tahu suatu hari nanti poster tersebut akan berharga berpuluh-puluh ribu.

Seluar tinju yang pernah dipakai oleh Muhammad Ali



Kerusi cornerman yang pernah digunakan Gene Tunney





Sejarah Lumpini



Stadium Lumpini adalah antara arena tinju paling terkenal di dunia. Prestij yang dipegang oleh pemenang bengkung kejuaraan di sini melebihi juara Stadium Rajadamnern, stadium Muay Thai pertama di dunia.

Ia dibuka secara rasmi pada Disember 1956, 15 tahun selepas pembinaan Stadium Rajadamnern dengan matlamat mempromosikan sukan Muay Thai di Thailand dan luar negara. Lumpini terkenal di serata dunia kerana polisinya yang membuka peluang kepada petinju luar untuk turut sama bersaing merebut kejuaraannya.

Stadium ini diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Anggota, Angkatan Tentera Diraja Thailand dan dinaungi oleh kerajaan. Hanya petinju yang berumur 15 tahun ke atas dan mempunyai rekod yang cemerlang boleh bertarung di sini. Pertaruhan turut dibenarkan malah terdapat kaunter di sekitar stadium mempunyai lesen menjalankan perjudian. Antara juara terkenal dari Lumpini ialah Dieselnoi Chor Thanasukarn yang bersara pada awal dekad 80-an dengan rekod tanpa kalah. Perlawanan paling hebat pernah diadakan di sini adalah antara Poot Lorlek dengan Vicharnoi Prontawee yang mencatatkan kutipan tiket melebihi sejuta baht. Selama tujuh tahun, "Dewa Tinju" ini mendominasi setiap perlawanan tanpa kalah sehingga 80 perlawanan.
Pada masa kini, makin ramai farang (petinju luar) yang datang ke stadium ini untuk menunjukkan kehebatan masing-masing malah ada yang menjadi juara. Antaranya ialah Ivan Hippolyte dan Ramon Dekker. Lumpini juga pernah menghasilkan juara transeksual yang terkenal, iaitu Nong Tom.

Prestij Lumpini sebagai medan pertarungan juara antara juara kini mengatasi Stadium Rajadamnern dan pesaingnya yang terbaru ialah Channel 7. Perlawanan diadakan pada setiap Selasa, Jumaat dan Sabtu dengan harga tiket antara 500 hingga 1500 baht.



(contoh poster kejohanan di Lumpini)




Muay Thai vs Silat (ep.1)




Untuk artikel kali ini, mari kita lihat terlebih dahulu kekuatan dan kelemahan Muay Thai. Pertama, Muay Thai ialah sejenis sukan dan ini bererti undang-undang diadakan untuk memanjangkan perlawanan, memastikan keselamatan petinju dan mempamerkan aksi yang menarik untuk tontonan peminat. Jadi, sudah tentu teknik berbahaya seperti tusukan jari ke mata, pukulan ke bahagian sulit, dan bergusti di lantai tidak dibenarkan.

Namun begitu, ini tidak bermakna Muay Thai lembik. Setiap teknik yang digunakan adalah realistik kerana telah diuji sepanjang zaman. Bersediakah anda menerima sepak layang tulang kering yang mampu mematahkan tulang paha anda? Kalau anda tidak mempunyai daya ketahanan dan stamina yang tinggi, lupakan sahaja untuk berhadapan dengan petinju Muay Thai yang berpengalaman.

Satu kelebihan pengamal Muay Thai ialah mereka hidup dalam dunia sebenar. Mereka tahu tiada siapa yang gagah dan sentiasa menang. Setiap kali bertarung, mereka terdedah kepada pukulan kaki dan tangan yang berbahaya. Petua utama ialah mengurangkan keberkesanan teknik lawan dan mempertingkatkan keberkesanan teknik sendiri. Petinju berpengalaman pun sedar jika nasibnya kurang baik, teknik lawan mampu melintasi pertahanan dan mungkin menewaskannya. Oleh itu, petinju Muay Thai sejati ialah individu yang sentiasa merendah diri dan menghormati antara satu sama lain.

Muay Thai ialah sejenis sukan yang berasal dari ilmu perang Krabi Krabong, manakala Pencak Silat masih diwarisi dalam bentuk tradisi. Mungkin Muay Thai ialah sukan tempur paling realistik tetapi terdapat pelbagai aliran silat yang masih mengamalkan latihan tempur bersenjata secara realistik. Jika dipertemukan dua jaguh ini, peluang petinju Muay Thai untuk menang agak tipis, tetapi bagaimana jika pertarungan ini berlaku tanpa senjata?

Sebelum kita pergi lebih lanjut, saya ingin bertanya kepada diri saya sendiri, apakah yang akan saya lakukan jika terpaksa berhadapan dengan pesilat yang berpengalaman. Sebagai pengamal kedua-dua ilmu tempur ini, saya tidak akan masuk bertempur dengan pesilat jika diajak berlawan di dalam sungai, di dalam sawah atau di atas lantai yang licin.


Beautiful Boxer



Peminat filem Muay Thai mungkin tidak pernah mendengar nama Parinya Kiatsuba, tetapi bila disebut Beautiful Boxer, ramai yang mengiyakannya. Model, pelakon, dan pengacara TV yang dahulunya dikenali sebagai Nong Toom ini ialah petinju transeksual paling terkenal di Thailand.

Memulakan latihan pertama di sebuah kem di Chonburi, Parinya bertekad mahu menjadi petinju ternama di Thailand untuk menyara keluarganya yang miskin. Penampilannya yang pertama di arena profesional bermula pada Februari 1998 apabila bertarung di Stadium Lumpini. Media di Thailand terkejut dengan kemenangannya itu dan menggelarnya The Beautiful Boxer. Walaupun beberapa badan sukan di Thailand melarang kathoey (gelaran untuk pondan) daripada terlibat dalam sukan, Persatuan Boxing Thailand memberi sokongan kepada Parinya dan diiktiraf oleh Lembaga Pelancongan Thailand sebagai salah satu keajaiban Thailand.



Pada 1999, Parinya mengumumkan persaraannya daripada arena Muay Thai untuk menumpukan perhatian kepada kerjaya barunya sebagai model dan pelakon. Filem mengenai kisah hidupnya, Beautiful Boxer yang dilakonkan oleh petinju Thailand, Asanee Suwan mendapat kutipan box office di seluruh dunia. National Geographic juga pernah menyiarkan dokumentari mengenainya bertajuk Hidden Genders (2003). Pada penghujung 2008, Parinya membuka kem Muay Thai di Hua Hin, Thailand.


Muay Thai vs Taekwondo



Rekod perlawanan Taekwondo menentang Muay Thai sama ada di gelanggang TKD atau Muay Thai agak menyedihkan (contohnya Ultimate Warrior). Walaupun yang bertarung itu memegang tali pinggang hitam darjah tertinggi (4 dan ke atas), mereka seolah-oleh tiada sasaran apabila menghadapi petinju Muay Thai. Semua serangan ditampan dengan senang sama ada menggunakan tangan, kaki atau tubuh petinju itu sendiri. Sebaliknya, ahli TKD jarang dapat menahan asakan bertubi-tubi dengan sepak layang tulang kering dan akhirnya dipaut dan dihenyak dengan lutut.


Seluar Muay Thai



Sebelum mempelajari Muay Thai, pelatih terlebih dahulu perlu memiliki sehelai seluar pendek Muay Thai. Memakai seluar trek atau seluar panjang tidak sesuai bagi latihan Muay Thai kerana pelatih perlu mengangkat kaki yang tinggi dan melentur tubuh semasa melakukan sesuatu teknik. Seluar Muay Thai dibahagikan kepada dua jenis, seluar latihan dan seluar pertandingan. Seluar latihan biasanya dibuat daripada satin. Terdapat tulisan Muay Thai di hadapannya dalam bahasa Thai. Seluar pertandingan pula dibuat daripada rayon kerana kain ini cepat kering. Di hadapannya akan tertulis nama petinju dan kelab yang diwakilinya.

Seluar Muay Thai yang popular semuanya dibuat di Thailand. Antara jenama yang berkualiti ialah Muay Thai, Lumpini dan Twins Special. Apabila membeli seluar, terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui. Kebanyakan seluar buatan Thailand diukur dengan menggunakan skala S, M, L, XL dan XXL. Getah pinggang seluar dibuat daripada bahan elastik yang boleh membesar mengikut pinggang pemakai. Walaupun kerap dipakai, getah pinggang seluar sentiasa ketat. Sekiranya tidak pasti saiz yang sesuai, belilah saiz yang besar. Seluar yang besar memudahkan pergerakan kaki.

Berikut ialah ukuran saiz seluar:
S – untuk pinggang 26 – 28
M – untuk pinggang 28 – 30
L – untuk saiz pinggang 30 – 32
XL – untuk saiz pinggang 32 – 34
XXL – untuk saiz pinggang 34 – 38


Lompat tali



Melompat dengan tali adalah salah satu bentuk latihan aerobik wajib bagi setiap gim atau gelanggang Muay Thai. Selain mudah, murah dan menyenangkan, latihan ini dapat membakar lemak dalam jumlah banyak pada tubuh petinju. Setiap kali latihan, tubuh membakar 1000 kalori per jam.

Lompat tali tergolong dalam latihan low-impact. Ertinya latihan ini sangat sesuai untuk lutut dan membantu mengendurkan otot-otot bahu. Lompat tali sangat baik untuk mengencangkan otot perut, betis, paha, dan punggung. Selain itu, pengamal Muay Thai menggunakan latihan lompat tali bagi meningkatkan kelincahan kaki serta kemampuan koordinasi anggota badan, selain memperkuatkan sistem kardiovaskular dan meningkatkan stamina.


Muay Thai vs Jeet Kune Do



Jeet Kune Do (JKD) ialah aliran seni beladiri yang diasaskan oleh Bruce Lee 40 tahun yang lalu. JKD dikatakan menggabungkan lebih daripada 30 teknik tempur pelbagai seni beladiri. Ketika hayatnya, Bruce Lee mengkaji teknik yang efektif bagi pertempuran sebenar (street fighting) dan menyerapnya ke dalam JKD. Tugas ini disambung oleh pewaris mendiang, Dan Inosanto. Dan Inosanto turut mengadaptasi teknik berlawan Muay Thai ke dalam JKD kerana semasa masih hidup, Bruce Lee tidak gemar akan corak serangan dan latihan Muay Thai. Untuk rekod, Dan Inosanto ialah jurulatih Muay Thai di bawah Acharn Chai Sirisute.

Bagi pertarungan dalam sangkar (No-Holds-Barred), pengamal JKD mempunyai lebih banyak peluang untuk menang terhadap petinju Muay Thai. Namun, jika kedua-duanya beradu dalam gelanggang Muay Thai, petinju Muay Thai akan mendominasi perlawanan kerana corak gelanggang yang sesuai untuk stand-up fighting.

Seorang ahli JKD yang sebenar akan memiliki tendangan sebaik ahli taekwondo, tumbukan sepantas petinju profesional, stamina standing petinju Muay Thai, kemahiran bertempur jarak dekat seperti Kung Fu Wing Chun, helah selicik pesilat Pattani, dan mampu bergelut seperti Jujitsu.


Kecederaan dalam Muay Thai 1



Muay Thai merupakan sukan yang melibatkan pergerakan mula-henti yang pantas serta membabitkan sentuhan atau pertembungan fizikal yang boleh mengakibatkan kecederaan yang mudah. Kecederaan pada pergelangan kaki, lutut dan kaki bahagian bawah seperti terkehel merupakan kecederaan yang kerap berlaku di atas gelanggang. Kecederaan yang paling biasa berlaku pada bahagian kaki adalah ketegangan otot atau koyak.

Ketegangan biasanya melibatkan otot-otot groin, hamstring (tendon belakang lutut) dan kuadriseps paha. Otot yang tegang lazimnya tidak memerlukan petinju dikejarkan ke bilik kecemasan, tetapi ia menyakitkan. Petinju akan direhatkan selama beberapa hari ke minggu. Ketegangan yang kerap berlaku dalam sukan ini juga boleh berpunca daripada sepakan tinggi lebih daripada yang termampu dikendali otot.

Patah kedua-dua tulang kaki bawah juga adalah suatu perkara biasa lazimnya pada bahagian tulang kering. Ia terjadi apabila seorang petinju menendang lawan dengan cukup kuat untuk mematahkan tulang tibia dan fibula kaki bawah lawan. Kaki perlu ditopang dan petinju berkenaan hendaklah segera berjumpa pakar. Ia mungkin memerlukan pembedahan terutamanya jika kepatahan terbuka (terkeluar dari kulit) dan tidak stabil.

Mengenai kecederaan kepala pula, ia boleh terjadi apabila petinju disiku atau ditendang. Ia menyebabkan kontusi – luka atau lebam atau pun lebih serius, kecederaan leher. Patah hidung, pipi dan rahang juga boleh terjadi. Corak serangan melalui terpaan yang sering dilakukan oleh petinju pula menjadikan mereka terdedah kepada kecederaan bahu.



(Che Pol M-150 masih mampu meneruskan perlawanan walaupun hidungnya patah)

Sudah banyak berita yang kita dengar tentang kalangan ahli sukan meninggal akibat kesan latihan yang dijalankan. Sebagai contoh, ada pelumba lari yang meninggal akibat sakit jantung dan ada juga yang mengalami penyakit Parkinson akibat tinju. Bahkan terdapat ramai ahli sukan yang meninggal dunia pada umur yang masih muda.

Allahyarham Mokhtar Dahari, permata bola sepak negara disahkan meninggal dunia pada pada usia 39 tahun kerana mengidap penyakit Mascular Dystrophy. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kematian legenda Muay Thai Thailand, Saensak Muangsurin kerana kegagalan fungsi hati dan arteri pada usia 58 tahun.



(Legenda Muay Thai dan Juara Tinju WBC Dunia 1975, Saensak)
Jika diperhatikan, dalam masa yang sama terdapat ramai pula orang yang tidak bersukan atau terlibat dalam sukan tempur mempunyai umur yang panjang hingga mencecah 100 tahun. Persoalannya ialah di manakah silapnya ahli-ahli sukan itu hingga menyebabkan kematian dalam usia yang masih muda?

Masalah ini boleh dikupas dengan mengkaji sistem pernafasan dalam tubuh yang berlaku ketika senaman dan aktiviti sukan dijalankan. Ketika bersukan, otot akan sentiasa berada dalam ketegangan dan pada waktu ini, otot-otot menggunakan oksigen lebih cepat daripada kadar pembekalannya.

Tanpa disedari sama ada secara langsung atau tidak langsung para petinju sentiasa menegangkan otot mereka pada setiap hari. Bagi sesetengah petinju yang benar-benar memberikan komitmen dalam sukan ini, ada yang sanggup berlatih selama 8 jam setiap hari untuk mencapai kemenangan. Tindakan sebegini pada hakikatnya amat membahayakan tubuh badan. Latihan hanya akan menegangkan otot-otot dan urat-urat dalam tubuh.

Apabila penegangan otot berlaku secara berterusan, ia boleh mengakibatkan otot menjadi kejang akibat kekurangan garam mineral. Sepatutnya otot perlu sering dikecutkan dan bukan ditegangkan. Oksigen yang berada di dalam darah berfungsi sebagai pengimbang suhu darah agar tidak terlalu panas. Semasa latihan berjalan, suhu darah yang terlalu tinggi sebenarnya tidak sesuai untuk jantung yang berfungsi sebagai penyejuk. Oksigen seharusnya sentiasa diserap ke dalam otot dan bukan untuk digunakan atau dilepaskan ke luar tubuh.


Perempuan Tak Boleh Belajar



nak muay wanita m-150 fared muay thai & sport

“Perempuan tidak boleh belajar Muay Thai, Muay Thai sangat susah untuk perempuan.” - Pepatah Thai

Kejadian yang berlaku pada awal tahun 70-an mengejutkan sukan Muay Thai di Thailand apabila seorang pengacara TV terkenal memanjat gelanggang di Stadium Lumpini.

Sejak hari itu, perempuan tidak lagi dibenarkan memasuki stadium Muay Thai di negara yang kuat dengan amalan Buddha itu. Thailand merupakan negara di Asia Tenggara yang paling ramai penganut Buddha. Bikkhu (sami) dipanggil untuk merahmati gelanggang dan mongkon yang dipakai petinju.

Khabar angin mengatakan bahawa kejadian pengacara tv memanjat gelanggang itu menyebabkan semangat yang menjaga gelanggang menjadi marah. Sama ada satu kebetulan atau tidak, separuh daripada petinju pada malam itu cedera teruk semasa bertarung. Ekoran kejadian itu, pihak berkuasa stadium melarang perempuan daripada terlibat atau menonton perlawanan Muay Thai.

Larangan itu bagaimana pun tidak lama. Sebuah stadium telah dibina khas untuk perempuan, iaitu Rangsit. Presiden Muay Thai Institute, Amnuay turut mengubahsuai tingkat bawah stadium menjadi gim bagi petinju perempuan. Bagaimana pun, stadium ini dikuasai oleh petinju dari negara Barat yang datang ke Thailand.

Ada juga stadium yang mengundang petinju perempuan (nak muay ying) bertarung bagi menghiburkan penonton sebelum sesuatu kejohanan berakhir. Masih banyak lagi kem atau gim di Thailand yang melarang perempuan daripada turut sama berlatih. Malah bagi perlawanan kecil-kecilan yang dianjurkan oleh kelab, penonton perempuan diasingkan daripada penonton lelaki dan tempat duduk yang jauh dari gelanggang.

Ketika melakukan Wai Kru, petinju perempuan akan memakai prajed dan mongkon, perbuatan yang ditentang keras oleh petinju lelaki kerana menganggap benda itu terlalu suci untuk disentuh. Berbeza dengan perlawanan petinju lelaki, petinju perempuan hanya berlawan selama dua minit dengan dua minit rehat.

Perlawanan petinju perempuan juga kurang mendapat sambutan jika dibandingkan dengan petinju lelaki yang sentiasa dipenuhi penonton. Kebanyakan nak muay ying terdiri daripada remaja perempuan dari golongan miskin. Mereka akan bersara menjelang umur 20-an untuk berkahwin dan melupakan terus sukan ini.

Kecederaan dalam Muay Thai 2


Sukan tempur seperti Muay Thai dan tinju diakui meningkatkan daya tahan petinju. Namun, kesan sampingan akibat latihan dan pertarungan tidak dapat dielakkan. Tidak kira sama kecederaan itu berlaku semasa pertandingan atau selepas beberapa lama, kesan kecederaan dalaman akan dirasai juga.
Konkusi atau gegaran otak merupakan sejenis kecederaan dalaman yang biasa dialami petinju. Ia adalah satu keadaan apabila otak kehilangan fungsi selama beberapa minit/jam akibat hentakan. Antara tanda-tanda gegaran pada otak adalah sakit kepala, penglihatan kabur dan keletihan melampau. Konkusi yang berulang boleh menghasilkan kecederaan kekal pada otak.

Konkusi ringan (tidak sedarkan diri untuk beberapa saat) biasanya berlaku akibat tumbukan atau sepakan. Petinju yang diserang ke kawasan kepala berulang kali akan tumbang (K.O) tetapi akan sedar semula selepas beberapa saat.

Tumbukan daripada pihak lawan dikatakan punca bagi kecederaan otak. Istilah punch drunk digunakan bagi menjelaskan fenomena itu yang menimpa legenda tinju dunia, Muhammad Ali. Pesakit mengalami kesukaran bertutur, sukar berjalan, sukar mengingat dan pelupa. Kerosakan struktur otak yang dikenali sebagai substantia nigra menyebabkan penyakit Parkinson.

Selain itu, bekas juara tinju heavyweight dunia, Greg Page, 50, meninggal dunia di kediamannya di Kentucky disebabkan komplikasi akibat kecederaan otak yang dialami dalam pertarungan merebut gelaran WBA menentang Dale Crowe, 8 tahun lalu. Page, bekas rakan sepelatih Muhammad Ali, tumbang di pusingan ke-10. Dia koma selama seminggu dan lumpuh bahagian kiri badan.

Legenda Muay Thai, Saensak Muangsurin bersara dari arena tinju selepas kehilangan sebelah penglihatannya akibat perlawanan tinju. Saensak sendiri pernah menyatakan bahawa kecederaan beliau bukan kerana Muay Thai tetapi disebabkan oleh tinju. Oleh sebab tinju memilih sasaran di kepala, kecederaan akibat tumbukan lebih banyak berbanding Muay Thai yang menyerang seluruh anggota badan.



Mentera dalam Muay Thai




Jampi atau mentera merupakan susun kata yang dipercayai dapat memberi kesan ke atas perkara tertentu yang dihajati. Contohnya untuk menyembuhkan penyakit, menjadikan tubuh kebal dan membuatkan seseorang jatuh hati. Jampi juga digunakan oleh orang dahulu kala dalam melakukan amalan harian seperti ketika mandi, ketika menyikat rambut, ketika keluar rumah dan sebagainya sama ada bertujuan untuk kecantikan, keselamatan dan sebagainya.

Dalam Islam, penggunaan jampi tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan syirik. Untuk kajian bersama, Cikgu paparkan beberapa mentera yang selalu digunakan oleh petinju sebelum bertarung di atas gelanggang. Mentera ini dibaca semasa petinju membuat Wai Kru. Selepas juruacara mengumumkan langkah sembah bermula, petinju akan berjalan mengelilingi gelanggang dan berhenti di setiap penjuru. Ketika di penjuru inilah petinju akan membaca mentera sambil menyentuh pelapik penjuru dengan perlakuan tertentu mengikut tradisi kem masing-masing. Selepas itu petinju akan duduk membelakangi penjuru lawan sambil membaca mentera sekali lagi.

Mentera Kebal

Allah payung aku
Jibrail kota aku
Malaikat 44 pagar aku
Aku berjalan dengan kuasa Allah
.....................................

Mentera Kebal

Bismillah Lam Zat Kam sifat Lam Ghat rohku jaga-jaga
Ya Hu Ujud Allah Ya Hu Rahimallah
Ya Hu sifat Allah Ya Hu Ya Allah
Hai Jibril Israfil Izrail Mikail
Adangkan aku selitkan nyawa di dalam kandang
....................................

Mentera Kuat dan Gagah

Hai Besi Putih Besi Khursani
Besi Pelilit di pinggangku
Kuat aku seperti Saidina Ali
Gagah aku seperti Saidina Hamzah


Legenda Muay Thai

Sejarah kehebatan Muay Thai sering dikaitkan dengan kepahlawan Nai Khanom Tom semasa peperangan Burma-Siam. Nai Khanom Tom ialah seorang petani yang berasal dari daerah Sing Buri, tengah Thailand.

Pada 1763, Raja Ung Wa menaiki takhta kerajaan Burma. Matlamat pertama baginda ialah menumpaskan negeri-negeri yang bertelingkah dengan empayarnya. Dua tahun selepas itu, baginda menghantar 200,000 bala tentera menyerang Siam. Angkatan Burma menyerang dan memusnahkan bandar diraja Ayutthaya.


Thailand yang ketika itu dikenali sebagai Siam tidak pernah diceroboh oleh mana-mana kuasa sepanjang sejarahnya. Bagaimanapun, kelemahan dalam pemerintahan menyebabkan kerajaannya runtuh. Selepas menang perang pada 1774, Raja Ung Wa menganjurkan perayaan selama tujuh hari tujuh malam.

Raja mengarahkan supaya diadakan pertarungan antara tahanan perang dengan pahlawan terbaik baginda. Tom telah ditawarkan kebebasan untuk dirinya seandainya dapat menewaskan pahlawan maharaja ini. Tom terpaksa berjuang demi maruah bangsa Saim dan juga dirinya. Sebelum pertarungan dimulakan, tangan mereka dibalut dengan tali hem. Tiada peraturan perlawanan dan semua kawasan tubuh ialah sasaran. Tom mempersembahkan tarian tradisional yang dipanggil Ram Muay terlebih dahulu.
Selepas pertarungan dimulakan, Tom terus menyiku lawannya menyebabkan lawannya tumbang namun belum diikitiraf sebagai juara. Rakyat Burma yang menonton perlawanan itu mendakwa tarian itu mempunyai sihir dan mahu pertarungan diteruskan. Tom terpaksa berdepan dengan lebih ramai pahlawan Burma dan menewaskan mereka dengan teknik yang sama.

Tanpa naluri nelas kasihan, Tom menewaskan satu persatu pahlawan terbaik maharaja Burma. Raja Ung Wa kagum dengan kebolehan Tom menewaskan 12 pahlawan terbaik Burma dan baginda memberi hadiah berserta seorang hamba perempuan untuk dijadikan isteri kerana kehebatannya itu. Baginda mengatakan orang Thai kecil, tetapi sangat berbahaya.

Sejarah kehebatan Nai Khanom Tom itu dicatatkan dalam buku teks sekolah dan legenda Thai itu kini dikenali oleh setiap kanak-kanak di Thailand. Sebagai memperingati tarikh Nai Khanom Tom menewaskan pahlawan Burma itu, kerajaan Thailand menetapkan bahawa 17 Mac sebagai Hari Muay Thai Kebangsaan.


Cornerman ep.1



Cornerman merujuk kepada pembantu petinju semasa sesuatu perlawanan. Lazimnya cornerman terdiri daripada rakan sepelatih atau jurulatih petinju tersebut. Dalam sukan tinju, cornerman dipanggil sebagai second. Selain mengiringi petinju naik ke gelanggang, cornerman juga bertindak sebagai penasihat.

Cornerman ialah orang yang paling penting bagi petinju semasa perlawanan kerana petinju akan mendengar segala arahan daripada cornerman. Cornerman juga bertindak sebagai tukang urut kepada petinju semasa waktu rehat antara pusingan. Ketika melihat petinjunya dalam keadaan bahaya, cornerman akan melemparkan tuala putih ke tengah gelanggang sebagai tanda mengalah. Bagi perlawanan biasa, hanya dua cornerman dibenarkan mengiringi petinju. Manakala perlawanan merebut bengkung, tiga cornerman dibenarkan.
Cornerman bertanggungjawab terhadap petinju sejak perjalanan untuk ke tempat perlawanan lagi. Dari makan minum, tempat tinggal, tahap kecergasan, semuanya diuruskan oleh cornerman. Sebelum dan ketika perlawanan, tiada orang yang lebih rapat dengan petinju selain daripada cornerman. Antara tugas cornerman ialah:
1. Menyediakan peralatan yang diperlukan untuk petinju.
2. Membalut tangan petinju.
3. Mengurut tubuh petinju.
4. Mengiringi petinju naik ke gelanggang.
5. Menganalisis kekuatan lawan.
6. Merancang strategi untuk menghadapi lawan.
7. Memberi nasihat ketika petinju hilang punca atau hampir kalah.

Dalam perlawanan, petinju diberi masa rehat selama empat kali dengan tempoh masa dua minit. Ketika inilah cornerman bertanggungjawab menjalankan tugasnya seperti:
1. Melihat glove dan krachap sama ada ketat atau longgar.
2. Menyejukkan tubuh petinju dengan mengibas atau menyembur dengan air sejuk.
3. Memberi air minuman untuk menghilangkan haus.
4. Mengurut kaki, perut, bahu, dan kepala petinju.
5. Memberi nasihat kepada petinju.

Cornerman bertanggungjawab menyediakan kelengkapan untuk petinju sebelum perlawanan. Amtara barang yang diperlukan ialah baldi, tuala putih, pek ais, vaselin, minyak urut, pita perekat, kain pembalut tangan, gunting dan masking tape. Glove disediakan oleh pihak penganjur.

Ada juga cornerman yang membawa focus mitt untuk membantu petinju membuat pemanasan. Sebelum naik ke gelanggang, cornerman perlu memeriksa sama ada petinju sudah memakai jubah, kracap, mongkon, dan prajed. Pelindung mulut dipakaikan selepas petinju siap membuat langkah sembah.

Ketika membantu petinju naik ke gelanggang, cornerman perlu memastikan petinju itu melangkah tali dengan bergaya. Jubah perlu ditanggalkan segera dan glove dipastikan kemas sekali lagi.

Hidrasi atau kekurangan air dalam badan sangat perlu diberi perhatian oleh cornerman. Tiga minit perlawanan menghilangkan hampir satu liter cecair dalam badan. Hidrasi boleh menyebabkan petinju pengsan dan terdedah kepada maut. Cornerman perlu memastikan petinju mengambil air secukupnya sepanjang hari sebelum malam perlawanan. Ketika perlawanan, petinju akan mengambil sedikit air cuma untuk menghilangkan rasa dahaga.

Semasa waktu rehat antara pusingan, pastikan pek ais diletak di leher atau bahu petinju untuk menyejukkan tubuhnya. Kibas tuala supaya petinju berasa sejuk kerana suhu tubuhnya ketika itu sangat panas. Semburan air sejuk ke tubuh juga boleh dilakukan selain membasuh kepala petinju. Longgarkan seluar petinju untuk membolehkan udara masuk dan pengaliran darah berjalan dengan sempurna.


Sekiranya terdapat kesan luka yang kecil, sapu dengan vaselin. Doktor akan menghentikan perlawanan sekiranya luka tadi membahayakan petinju. Bengkak boleh dihilangkan dengan menuam ais.

Hubungan antara cornerman dan petinju sangat penting. Kedua-duanya harus saling mempercayai dan petinju perlu mendengar setiap arahan cornerman. Oleh sebab kebiasaannya cornerman terdiri daripada jurulatih, hanya mereka yang tahu kekuatan petinjunya dan membaca teknik lawan semasa perlawanan. Tugas cornerman bolehlah dianggap seperti bapa menasihati anaknya, ibu menjaga bayinya, dan guru yang memberi motivasi untuk kejayaan pelajarnya.

Saturday, August 22, 2009