Sunday, October 25, 2009
TOMOI-SAHSIAH DIRI DAN TERSIRAT
Tomoi adalah nama tempatan bagi sejenis sukan seni mempertahankan diri dari Thailand, dikenali sebagai Muay yang turut dikongsikan sebagai warisan budaya.
Ia lebih popular di negeri-negeri bersempadan dengan Thailand melalui proses asimilasi daripada rentetan masa yang panjang dan dipercayai dibawa masuk sejak awal 1800.
Seni mempertahankan diri yang lebih merujuk kepada penggunaan siku dan lutut selain tumbukan dan membentes lawan ini turut dikenali sebagai ‘boksing siam’ bagi masyarakat Melayu di Kelantan.
Ia diterima meluas sebagai mengisi waktu luang di kalangan pemuda, memeriahkan majlis sambutan melalui pertandingan sesama sendiri dengan hanya ‘kemegahan’ sebagai ganjaran.
Dalam pertandingan di negeri ini, ia dihiasi muzik tradisional Kelantan mengiringi langkah sembah guru ‘Wai Khru’ manakala ‘Mong Kon’ (pengikat kepala) yang berbeza.
Perkembangannya terencat ketika kerajaan Pas mengambil alih pemerintahan pada 1990 dan mengharamkannya apabila ia dianggap berunsur ganas dan menyakitkan.
Tanggapan awal lebih menjurus kepada unsur-unsur negatif, tentunya dibimbangi menyemarakkan unsur keganasan dalam masyarakat di samping perjudian melalui pertandingan.
Namun ia masih dijalankan secara senyap oleh sebilangan penggiat dan anak-anak buah yang dibimbing bertanding sesama sendiri atau sesekali dibawa ke luar untuk menguji kemahiran dan ketangkasan.
Agak mengejutkan apabila pada 2006, kerajaan negeri mengumumkan larangan itu ditarik balik malah akan bersama membantu menyemarakkan tomoi sebagai suatu sukan dengan turut menggunakan ‘acuan tempatan’.
Kerajaan negeri berharap ia dapat diberikan nama baru – Muay Kelantan atau Boksing Kelantan dengan selitan identiti negeri bagi sukan yang semakin diterima meluas oleh masyarakat dunia.
Malah, kerajaan negeri juga membenarkan penglibatan wanita dalam pertunjukan dan pertandingan sukan tomoi walaupun ia sebelum ini dianggap bertentangan dari fitrah wanita.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kebenaran itu diberikan kerana ia merupakan salah satu budaya masyarakat Kelantan selain alat mempertahankan diri bagi menjaga keselamatan wanita daripada ancaman tertentu.
Pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan masih bergerak dalam skala yang kecil tanpa penglibatan penaja besar yang awalnya menyangka ia tidak mendapat sambutan meluas dan khalayak peminat adalah masyarakat kampung dan kurang kuasa beli.
Tidak ramai yang menyedari sukan ini dalam diam menarik minat pelbagai golongan masyarakat daripada kanak-kanak hingga orang tua, daripada penarik beca hingga golongan profesional tetapi promosi mengenainya tidak banyak diberi perhatian berbanding sukan lain.
Ia menarik kerana ia pertarungan sebenar yang menguji kelasakan, ketahanan diri, kepintaran dengan aksi-aksi pantas, luar jangkaan yang selalunya mendebarkan.
Keyakinan penaja mula beransur meningkat dan penyertaan syarikat gergasi TM Malaysia memberi nafas baru dengan mengangkat sukan ini ke tahap lebih berprestij di dalam negara melalui penganjuran secara profesional dan ganjaran lebih baik.
Kemuncak kepada perkembangan sukan ini di Kelantan ialah dengan berlangsungnya TM-Kejohanan Tomoi Antarabangsa Kelantan 2008 yang diadakan di sini ,ini bagi merebut piala Tengku Mahkota Kelantan.
Kejohanan terbesar di negeri ini anjuran m-150 dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Persatuan Boksing Negeri Kelantan menampilkan 24 peninju bertaraf dunia.
Antaranya ialah peninju dari Perancis, Rusia, Afghanistan, Iran, Thailand, Switzerland dan Amerika Syarikat yang diketemukan dengan petinju ternama m-150 fared muay thai & sport dan peninju Boxx Warriors, naungan Boxx Event.
En Mohd Fared bin Abd Ghani yang juga Pengerusi Persatuan boksing Negeri Kelantan sebelum ini ketika ditinjau pendapatnya menyifatkan Kelantan sebagai lubuk atlet tomoi di negara ini.
‘‘Cukup mengagumkan. Prestasi peninju kelab ini adalah antara yang terbaik secara keseluruhannya,’’
‘‘Muai Thai suatu sukan yang diterima di peringkat global, dipertandingkan di serata dunia, malangnya atlet Kelantan umumnya belum melangkah jauh.