sila layari laman blog/web yang disenaraikan bagi mengatahui perkembangan terbaru dan sebagainya


Tuesday, September 1, 2009

KELANTAN NO 1



Negeri Kelantan terkenal kerana melahirkan ramai petinju tomoi sejak dekad 70-an lagi. Jaguh-jaguh tempatan ini bersaing di selatan Thailand kerana pada masa itu, gelanggang mudah alih seperti sekarang belum ada lagi.
Di setiap ceruk kampung, kita boleh melihat kanak-kanak seawal usia 4 tahun lagi sudah mula menyepak punching bag berisi habuk kayu. Punching bag ini biasanya dibuat sendiri oleh kru. Ada yang membuat punching bag daripada kain kanvas, PU kusyen kereta atau guni beras. Glove punching bag biasanya diperbuat daripada sarung tangan kulit pekerja binaan.

Di dalam gelanggang pula, biasanya terdapat sekurang-kurangnya satu punching bag yang digantung pada batang pinang atau batang nibung. Murid akan bergilir-gilir menggunakannya dengan diselia oleh kru atau murid kanan. Penggunaan pao sebagai alat tubi masih jarang bagi gelanggang kecil. Namun begitu, sparring bersama rakan pelatih wajib bagi semua gelanggang. Kebiasaannya, glove lusuh yang sudah berbelas-belas tahun masih digunakan. Glove ini digunapakai oleh kesemua pelatih yang ada kerana kedaifan gelanggang.

Pada masa kini, Kota Bharu(kelab m-150 fared muay tha & sport) ialah antara daerah yang aktif menganjurkan pertandingan diikuti daerah Tumpat,Tanah Merah dan Pasir Mas. Walaupun tiada stadium tetap seperti di Thailand, sambutan daripada penonton amat menggalakkan. Penganjur mendapat keuntungan daripada tiket penonton kerana kesukaran mendapatkan penajaan daripada syarikat atau badan korporat. Pemenang biasanya dibayar sebanyak RM500 bagi setiap kemenangan, RM400 bagi keputusan seri, dan RM300 sekiranya kalah.

Di Kelantan, masih ramai pengamal tomoi menjadikan batang pisang sebagai alat tubi untuk mengeraskan tulang kering. Walaupun petinju Thailand sudah lama meninggalkan amalan ini, nak muay Kelantan masih lagi memilih batang pisang kerana selain mudah didapati, batang pisang juga mempunyai bentuk yang lembut di luar tetapi keras di dalam sama seperti tubuh manusia. Air getah pisang didakwa mempunyai khasiat untuk mengeraskan tulang peninju.